ATM tak kira siapa lawan di final
![]() |
|
ZULKIFELI menyatakan rasa bangganya dengan prestasi skuad ATM musim ini.
|
TANPA mengambil kira siapa lawan sama ada Selangor atau Kelantan pada perlawanan akhir kempen Piala Malaysia nanti, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaungkan janji untuk mempamerkan aksi paling bertenaga dalam misi mereka untuk menjulang piala berprestij itu.
Presiden Persatuan Bola Sepak ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, berdasarkan prestasi yang dipamerkan pada perlawanan menentang Lions XII kelmarin, beliau percaya bahawa ATM akan memberikan persembahan yang lebih mantap pada perlawanan akhir nanti.
Menurutnya, ATM telah bermain dengan penuh semangat dan iltizam sehingga berjaya mengakhiri penantian selama 46 tahun untuk layak ke final Piala Malaysia selepas kali terakhir pada 1966 ketika kejohanan Piala H.M.S. Malaya.
"Barisan pemain ATM telah mencipta sejarah apabila berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan saya begitu percaya bahawa ATM bakal memberikan persembahan yang penuh bertenaga dalam perlawanan akhir nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Pegawai Ikhtisas Kor Kesihatan Diraja Siri 77/2012 di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka semalam.
Mengulas mengenai pemberian ganjaran sekiranya pasukan ATM menjuarai Piala Malaysia, Zulkifeli berkata, soal ganjaran itu adalah perkara kedua, sebaliknya anak-anak didik jurulatih, B. Sathianathan perlu melaksanakan tugas untuk menggapai impian bergelar juara pada 20 Oktober ini terlebih dahulu.
"Ganjaran memang ada tetapi saya mahu pemain tidak terlalu mengharapkan imbuhan dulu kerana yang penting mereka perlu tunjukkan aksi paling ampuh dan mantap untuk bergelar juara," katanya.
Menurutnya, sekiranya pemain terlalu mengharapkan ganjaran, pemain mungkin hilang tumpuan kerana peluang beraksi ke perlawanan akhir adalah peluang yang hadir sekali selepas 46 tahun.
Katanya, ATM akan memikirkan habuan terbaik untuk pemain sekiranya mereka merealisasikan impian untuk merangkul piala paling berprestij bola sepak negara.







0 comments:
Post a Comment